widget

Saturday, July 25, 2009

Musafir Kita

MUSAFIR

Musafir adalah satu perpindahan sementara dari satu tempat ke satu tempat lain, serta tertanamnya niat di hati untuk kembali semula ke tempat asalnya.

Hukum bermusafir terbahagi kepada lima. Musafir wajib,sunat, harus, haram dan makruh.

Musafir yang wajib, seperti musafir untuk menunaikan haji dan umrah atau musafir untuk menuntut ilmu fardhu 'ain yang ditetapkan oleh syara'. Dalam kewajipan ini,seseorang itu wajib bermusafir demi tuntutan agama.

Musafir yang sunat,merupakan suatu amalan yang secara tidak langsung akan diberi ganjaran pahala. Musafir sunat seperti bermusafir untuk menziarahi Maqam nabi, para ulamak, wali-wali, golongan yang soleh, bermusafir untuk menghubungkan silaturrahim, menziarahi saudara-mara, melawat orang sakit dan sebagainya.

Musafir yang harus adalah seperti bermusafir semata-mata makan angin atau berniaga yang tidak disandarkan kepada niat taqarrub.

Musafir boleh menjadi haram apabila musafir itu bertujuan melakukan maksiat. Samada maksiat umum atau hanya pada diri sendiri. Perjalanan sebegini akan dilaknati Allah dan para malaikatNya sepanjang perjalanan sehinggalah ia bertaubat.

ADAB-ADAB MUSAFIR

1) Meninggalkan wasiat bagi perkara yang berhajat kepada wasiat, serta dirikan saksi ke atas wasiat yang diadakan.

2) Meminta keredhaan dan kemaafan dari kedua ibubapanya, guru-guru dan juga mereka yang patut baginya berbuat kebaikan.


3) Perbanyakkan bertaubat kepada Allah SWT serta pulangkan segala hak kezaliman yang telah dilakukan (harta yang dicuri,rampas dan sebagainya).

4) Menuntut ilmu pengetahuan yang berkaitan & diperlukan di dalam musafir.


5) Sunat dilakukan musafir pada hari Khamis, kerana ianya hari yang diberkati serta diangkatkan amalan hamba kepada Allah.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم, اذا اراد ان يسافر لم يسافر الا يوم الخميس. - رواه البخاري-
Ertinya; "Adalah Rasulullah saw, apabila berkehendakkan musafir,Bagina tidak bermusafir kecuali pada hari khamis."

6) Sunat bagi mereka yang ingin bermusafir menuntut doa, wasiat atau pesanan
daripada orang yang soleh atau alim ulamak.
ان الرجل جاء الى النبي الله صلى الله عليه وسلم يريد سفرا فقال: يا رسول الله اوصني. قال:
اوصيك بتقوى الله فلما ولى رجل قال النبي صلى الله عليه وسلم: اللهم ازو له الارض و هون عليه
السفر. –رواه ابن ماجه-
Ertinya; Sesungguhnya seorang lelaki hendak bermusafir datang kepada Rasulullah saw,maka dia berkata"wahai Rasulullah!Wasiatkan oleh mu kepadaku." Baginda bersabda,"Aku wasiatkan kepadanya dengan taqwa kepada Allah." Maka apabila berpaling lelaki,baginda berdoa,"Wahai Tuhan kami!Singkatkanlah (pendekkan jarak yang jauh) baginya bumi, dan permudahkan baginya perjalanan." –riwayat Ibnu Majah-

7) Sunat diambilkan seseorang sebagai rakan seperjalanan, untuk berbicara dan tolong-menolong di atas kerumitan perjalanan, kerana Baginda melarang dari
melakukan perjalanan seorang diri.

8) Sunat bagi orang yang bermukim (tidak musafir), memesankan kepada mereka yang hendak bermusafir, supaya mendoakan kebaikan baginya yang tidak bermusafir, kerana doa seseorang di dalam musafir mudah di qabulkan.
ان النبي صلى الله عليه وسلم قال: ثلاث دعوات مستجابات: دعوة الظلوم و دعوة المسافر و دعوة
الوالد لوالده. –رواه ابن ماجه-

9) Sunat mengucapkan selamat tinggal (wida') kepada mereka yang bermukim. Ianya berdasarkan sepotong hadith,
Ertinya, bersabda Nabi saw, "siapa yang inging bermusafir, maka hendaklah ia berkata bagi mereka yang ditinggalkan, aku minta peliharaan ke atas kamu dari Allah yang tiada binasa simpananNya. (Ibnu asSunniyi)

BAB 2
Amalan di dalam Musafir

Ketika kita di dalam musafir, perbanyakkan zikir dan bacaan alQuran. Semoga musafir kita sentiasa di dalam kerahmatan dari Allah SWT.
Disamping itu,dituntut juga supaya perbanyakkan bacaan doa, agar sentiasa berserah dan bergantung harapan hanyalah kepada Allah. Ini adalah kerana doa seorang yang bermusafir merupakan suatu doa yang mudah dimakbulkan di sisi Allah SWT.


1) Doa di dalam musafir:

"اللهم اليك توجهت وبك اعتصمت اللهم اكفني ما همني وما لا اهتم له اللهم زدني التقوى واغفرلي ذنبي ووحهني
للخير اينما توجهت."
[Allahumma ilaika tawajjahtu, wa bika a'tasomtu, Allahummakfini ma hammani, wa ma lahtammu lahu, Allahumma zawwidnittaqwa waghfirli zanbi wa wajjihni lilkhairi ainama tawajjahtu]

Ertinya; "wahai Tuhanku!KepadaMu aku berhadap, dengan Engkau aku meminta pemeliharaan. Wahai Tuhanku! Penuhilah apa yanag aku citai dan apa yang tidak aku citai. Wahai Tuhanku! Tambahkanlah kepadaku ketaqwaan dan ampunilah bagiku dosaku, dan perhadapkanlah kepadaku kebaikan di mana-mana aku berhadap."

2) Doa memudahkan urusan:
"اللهم لا سهل الا ما جعلته سهلا وانت تجعل الحزن ان شئت سهلا."

3) Doa melalui daerah:

Baginda turut mengajarkan doa apabila melalui daerah atau kediaman orang lain semasa di dalam perjalanan. Antara doa yang diajar oleh Baginda saw semasa menjejaki daerah yang tidak menjadi destinasi musafirnya adalah;

"اللهم رب السماوات السبع و ما اظللن والارضين السبع وما اقللن و رب الشياطين وما اضللن و رب الريح و ما ذرين اني أسألك خير هذه القرية و خير اهلها و خير ما فيها نعوذ بك من شرها اهلها و شر ما فيها."

[Allahumma Robbassamaawaatissab'i, wa ma azdlalna wal ardhiinassab'i, wa ma aqlalna wa Robba assyayaathin wa ma adhlalna wa Robba arrieh wa ma zariina, inni as aluka khaira hazihil qaryah wa khaira ahlaha wa khaira ma fiiha, na'uzubika min syarriha wa syarri ahlaha wa syarri ma fiiha]

Ertinya; "Wahai Tuhanku! Tuhan tujuh lapis langit dan sesuatu yang dibayanginya. Tuhan tujuh lapis bumi dan sesuatu yang ditanggungnya. Tuhan semua syaitan dan pekerjaan yang menyesatinya. Tuhan segala angina. Aku pinta pada Mu kebaikan kampung ini dan ahlinya dan kebaikan pada ahlinya. Dan kami berlindung dengan Engkau dari kejahatan kampung ini dan kejahatan ahlinya dan kejahatan yang ada pada ahlinya." –Ibnu Sunniyi-

4) Doa perhentian:

Apabila berhenti di suatu perhentian, disunatkan berdoa kepada Allah memohon perlindungan dariNya,agar dijauhkan dari segala bencana. Antaranya seperti doa yang diriwayatkan di dalam hadith;

"أعوذبك بكلمات الله التامات من شر ما خلق."

Kelebihan membaca doa tersebut ialah mendapat keamanan sepanjang berada di tempat membacanya dan dipelihara dari segala bencana atau perkara yang tidak diingini. Sepertimana yang diriwayatkan dalam hadith;

Ertinya; Bersabda Nabi saw,"Sesiapa yang berhenti di suatu perhentian, kemudian membaca;aku minta perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna (al-Quran) dari kejahatan yang dijadikan, nescaya tidak mudharat ke atasnya oleh sesuatu sehinggalah dia berpindah dari tempat perhentiannya tersebut."-Riwayat Imam Muslim-