widget

Saturday, May 30, 2009

bersediakah kita menjadi seorang isteri?



Ketika masih di bangku persekolahan, ibu pernah berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh. Jangan bercinta-cintun. Pesanan yang ringkas tapi sudah cukup jelas untuk difahami oleh si anak. Pesanan ibu itu tidak lain tidak bukan adalah untuk menjaga masa depan anaknya. Tidak percaya?Tunggulah bila kita sudah mempunyai anak nanti. Bagaimana rasanya naluri seorang ibu.

Kini, kita telah berjaya menamatkan alam persekolahan, bahkan ada juga di antara kita yang bakal bergelar graduan di salah sebuah universiti terkemuka baik di Malaysia mahupun di luar negara. Maka, disaat inilah waktu yang paling sesuai untuk kita mula membuat persediaan perancangan masa depan kita untuk hidup berkeluarga (persediaan utk kerja sudah semestinya dah difikirkan awal2 lagi). Sebagai salah seorang yang bakal bergelar graduan, maka saya juga tidak terkecuali untuk membuat planning for my future life iaitu bagaimana hidup saya sebagai seorang isteri, seterusnya seorang ibu kepada anak-anak saya yang bakal lahir nanti(ayat biasa yang selalu orang pakai). Dan persoalan utama yang menjadi permainan di benak fikiran adalah dengan siapa kita akan berkongsi hidup nanti. Bagi yang dah ada calon, semoga Allah mempermudahkan segala urusan. InsyaAllah kheir.

Betapa mudahnya untuk berfikir menjadi seorang isteri. Tetapi untuk memikul tugas seorang isteri, jangan sesekali fikir mudah. Itulah di antara pesanan-pesanan orang yang dah berpengalaman. Namun, bukanlah pesanan-pesanan tersebut bermaksud supaya kita takut menjadi isteri. Tetapi supaya kita bersedia untuk menggalas tugas isteri sesempurna yang kita termampu kelak. Isteri solehah. InsyaAllah.

Bagaimana nak jadi isteri solehah? Jom kita ambil tips2 dari kisah para solihin ini;

Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.

Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”


"Ya Allah, jadikanlah aku anak yang solehah serta jadikanlah aku isteri yang solehah"

1 comment:

Anonymous said...

amiinnn...